Halaman

Sabtu, 12 September 2009

RASULULLAH SEBAGAI MODEL LELAKI SEJATI

Pernah seorang sahabat bertanyakan kepada saya; “ Bagaimanalah kita hendak mengikut Rasulullah sedangkan dengan hanya satu isteri pun sudah tidak mampu berlaku adil dan anak seorang pun dibiarkan terbiar” Wahai lelaki keturunan Adam, muhasabahkanlah dirimu, kenalilah peribadimu dan hiasilah amalanmu seperti amalan Rasulullah.
Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik yang boleh dijadikan sebagai model lelaki sejati. Sebagai suami, ayah dan datuk yang cemerlang, sikap terpuji baginda dapat diketahui menerusi beberapa riwayat yang memaparkan kehidupan baginda yang bersikap adil dan saling menghormati, malah seorang yang pemaaf dan belas kasihan.Sebagai seorang suami, baginda tidak keberatan membantu melakukan kerja-kerja rumah seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila baginda mahu makan, baginda apa sahaja yang tersedia. Al-Hafizh Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Saiditina Aisyah r.a meriwayatkan dari Ahmad dan Ibnu Hibban, katanya: “Baginda yang menjahit pakaiannya, menjahit sepatunya dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan oleh lelaki di rumah mereka.”
Rasulullah juga melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu, suami mesti pandai mengambil hati isteri, jangan bersikap kasar atau garang sehingga sanggup mencederakan isteri. Dalam kehidupan berpoligami, baginda adalah contoh terbaik yang melaksanakan prinsip keadilan meskipun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh diberi sama rata kerana ada di antara mereka yang masih muda dan cantik dan ada juga yang sudah berumur tetapi sebagai suami, baginda pandai memainkan peranannya sehingga tidak ada dikalangan isteri yang tersinggung perasaannya.Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah, suatu hari isteri-isteri baginda datang menemui baginda, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayang?”. Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawab, sebaliknya baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya satu ketika nanti.
Selepas itu seperti biasa Rasulullah bermalam di rumah isteri-isteri baginda mengikut giliran masing-masing. Sedikit pun baginda tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar tidak memberitahu hal itu pada isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang ditetapkan, Rasulullah menyuruh isteri-isteri baginda berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapa diantara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah.
Ada yang cuba meneka jawapannya pasti adalah Aisyah kerana beliau merupakan isteri termuda diantara mereka tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya”. Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia sahaja yang menerima cincin tersebut.
Begitulah betapa adil dan bijaksananya Rasulullah bertindak sebagai suami yang pandai menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan baik tanpa timbul sebarang perselisihan faham atau pergaduhan di kalangan isteri. Malah, jika direnung kembali wasiat baginda yang terakhir, salah satu daripadanya menekankan tentang betapa pentingnya lelaki berhati-hati dalam perlakuan mereka kepada wanita (isteri).
Baginda bersabda yang bermaksud: “Takutlah kamu pada Allah dalam hal wanita. Mereka berada di dalam peliharaanmu. Kamu telah mengambilnya sebagai amanah dari Allah dan mereka itu dihalalkan untuk kamu dengan nama Allah S.W.T.” Wasiat terakhir ini menunjukkan betapa Rasulullah menekankan kepada peranan suami yang perlu bersabar ketika berhadapan dengan kerenah isteri demi kesejahteraan keluarga.Kecemerlangan Rasulullah sebagai bapa dapat dilihat apabila Rasulullah S.A.W amat meyanyangi anak-anaknya dengan menunjukkan kasih sayang, kemesraan dan tanggugjawab sebagai seorang bapa. Dalam hal ini, Saiditina Aisyah r.a pula menceritakan tentang bagaimana kasih sayang baginda terhadap anaknya Fatimah seperti mana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bahawa: “ Fatimah datang berjalan kaki. Jalannya seperti Rasulullah berjalan. Lalu Rasulullah berkata kepadanya; “Selamat datang puteriku.” Kemudian baginda mendudukkannya di sebelah kanan atau sebelah kiri baginda.”
Cara layanan terhadap anak juga menunjukkan baginda bersikap dengan penuh kasih sayang sebagai mana yang dijelaskan di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai yang bermaksud: “ Setiap kali Fatimah datang menemui Rasulullah, baginda biasanya berdiri menyambut kedatangannya, menciumnya dan menyuruhnya duduk di tempat baginda.”Kecemerlangan Rasulullah sebagai seorang datuk dapat dilihat menerusi kasih sayang nabi terhadap anak kecil (cucu baginda) melalui cara baginda melayani kedua-dua cucu kesayangan baginda, Hassan dan Hussin iaitu anak Siti Fatimah dan Ali. Rasulullah bukan sahaja sentiasa membelai dan mencium kedua-dua cucunya ini malah apabila cucu-cucu baginda menghampiri baginda, baginda terus mendukungnya.Perbuatan baginda ini pernah dilihat oleh seorang lelaki iaitu al-Aqra’ bin Habis al-Tamimi. Al-Aqra’ berkata; “Sesungguhnya saya mempunyai sepuluh orang anak tetapi tidak pernah saya mengucup walau seorang pun daripada mereka”. Melihat keadaan ini, Rasulullah bersabda yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi”.
Kisah hidup Rasulullah ini sedikit sebanyak memberikan kita (lelaki) satu panduan atau model ikutan yang wajar dijadikan amalan. Amat sukar untuk kita menemui seorang lelaki muslim yang sempurna peribadinya seperti Rasullulah. Pernah seorang sahabat bertanyakan kepada saya; “ Bagaimanalah kita hendak mengikut Rasulullah sedangkan dengan hanya satu isteri pun sudah tidak mampu berlaku adil dan anak seorang pun dibiarkan terbiar” Wahai lelaki keturunan Adam, muhasabahkanlah dirimu, kenalilah peribadimu dan hiasilah amalanmu seperti amalan Rasulullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan