Halaman

Isnin, 5 Oktober 2009




BIMBINGAN ROHANIBerkomunikasi dengan Allah (Bahagian 1)
Sudahkah anda "berkomunikasi" dengan Allah? Bagaimana? Kalau para remaja ingin tahu, maksud sebenar "berkomunikasi" dengan Allah SWT ialah dengan melalui sembahyang atau solat.
Dari Jabir RA, katanya beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:"Sesungguhnya tali penghubung antara seseorang dengan syirik dan kafir, ialah meninggalkan solat."
Tahukah anda, ibadah solat itu terbahagi dua (separuh-separuh) antara Allah dan hamba-Nya yang menunaikan solat tersebut?. Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:"Siapa yang tidak membaca Ummul Quran (Al-Fatihah) dalam solat, maka solatnya tidak sempurna." (Rasulullah telah mengulangi kenyataan ini sebanyak TIGA kali).Lalu ditanyakan orang kepada Abu Hurairah, "Bagaimana kalau kami solat mengikut imam?"Maka jawab beliau, "Bacalah perlahan-lahan! Kerana aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda bahawa Allah S.W.T. berfirman: Solat itu kubahagi dua antara-Ku dan hamba-Ku. Untuk hamba-Ku ialah apa yang dimintanya."
Al-Fatihah telah terbahagi kepada 3 iaitu:1. Ayat 1-4 untuk Allah;2. Ayat 5 untuk Allah dan hamba-Nya;3. Ayat 6-7 untuk hamba-Nya.
Solat juga boleh diertikan sebagai zikir kepada Allah. Melalui sabda Rasulullah S.A.W., Allah berfirman: "Aku adalah sahabat orang-orang yang mengingati-Ku."
Kerananya, bila Allah menjadi sahabat seseorang yang sedang solat, itu bererti bahawa orang tersebut mampu melihat sahabatnya (Allah). Inilah sebabnya, solat itu disebut sebagai "berkomunikasi" dengan Allah.
Menurut Ibnu Arabi, barang siapa yang solatnya sudah mencapai pada tingkatan melihat Allah, maka ia selalu menjadi imam dalam solatnya, meskipun solatnya sendirian. Ini kerana, para malaikat akan menjadi makmum dibelakang orang yang bersolat di tingkatan itu. Solat sebegini yang dapat mendatangkan nikmat dan khusyuk yang tiada taranya.
Bersambung...

DOA PILIHAN MINGGU INI: Dimudahkan menghafal pelajaran
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, Ya Allah, berilah daku rezeki faham, ilmu dan hikmah dengan fikiran dengan rahmat-Mu, Ya Allah Tuhan Yang Maha Pengasih."
NOTA: Doa ini baik diamalkan selepas menunaikan solat fardu dan sebelum mula belajar atau mengulangkaji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan